Psikotik Luna Maya , Aaron Aziz

    Author: Luna_Lovers Genre: »
    Rating



    PERTAMA kali berganding di dalam filem berjudul Tembus, Luna Maya dan Aaron Aziz teruja kerana jalan cerita filem arahan Ahmad Idham itu disifatkan sebagai sukar dijangka.



    LETAK ke tepi kisah sensasi pelakon tinggi lampai Indonesia, Luna Maya kerana dia membuktikan pilihan untuk terjun ke lapangan filem di Malaysia buat pertama kalinya menerusi filem Tembus membuahkan sukses.

    Biar lebih bermain emosi berbanding patah dialog, ekspresi yang ditonjolkan Luna Maya dalam filem lakonannya bersama Aaron Aziz itu diyakini berjaya menenggelamkan pelakon wanita lain dalam filem itu.

    Luna membawakan peranan sebagai Merylia, seorang gadis dari Indonesia yang berkunjung ke Kuala Lumpur atas urusan perniagaan namun akhirnya jatuh cinta dengan suami orang bernama Hari (Aaron Aziz).

    Pastinya bukan mudah untuk Luna Maya menerima bulat-bulat tawaran Ahmad Idham, selaku pengarah filem itu memandangkan posisinya sebagai bintang filem dan sinetron bukan calang-calang.

    "Ahmad Idham datang kepada saya sebelum ditawarkan menjadi juri Maharaja Lawak Mega tahun lalu lagi. Melihat naskhah dan peranan saya dalam filem itu berbeza daripada sebelum ini maka saya menerima tawaran itu.

    "Kalau di Indonesia saya sering menjayakan watak-watak wanita baik dalam sinetron jadi lama-kelamaan saya mulai bosan dengan karakter sebegitu.

    "Saat ditawarkan untuk membintangi filem ini, saya tidak berfikir panjang kerana akhirnya saya boleh melakonkan watak antagonis dan menariknya menjadi seorang wanita psiko.

    "Merylia menjadi orang ketiga yang wujud dalam hubungan suami isteri yang dilakonkan oleh Aaron dan Fazura. Saya jatuh cinta kepada Aaron dan saya juga tak tahu yang Aaron sebenarnya sudah berkahwin.

    "Saya juga menyimpan dendam terhadap Aaron dan tidak mahu Aaron meninggalkan saya," ujarnya yang ditemui pada majlis pratonton filem Tembus di Cineleisure e@Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

    Aaron nama besar

    Salah satu faktor yang menambat hati Luna untuk menerima tawaran membintangi filem Tembus, populariti pelakon lelaki gandingannya, Aaron Aziz menjadi penyumbang hipotesis awal sebelum memulakan penggambaran filem itu sekitar awal tahun ini.

    "Saya ada menonton rancangan biografi Aaron Aziz di E!Channel tahun lalu sebelum berlakon bersama.

    "Pada hemat saya dia antara nama besar di sini dan salah satu filem lakonannya yang saya gemar adalah KL Gangster.

    "Jadi, mana mungkin saya boleh menolak tawaran ini apatah lagi apabila dimaklumkan akan berlakon bersamanya.

    "Walaupun pada awalnya kami agak kekok apabila bersama kerana mungkin belum mengenali satu sama lain tapi lama-kelamaan semuanya berjalan lancar," katanya.

    Ditanya perbezaan berlakon bersama produksi di Malaysia berbanding Indonesia, kata Luna Maya, selain meraih pengalaman baharu, budaya kerja juga sedikit berbeza dari negaranya.

    "Banyak pengalaman baharu saya timba bersama produksi di Malaysia, daripada segi budaya kerja dan pelbagai lagi tapi saya akui seronok berlakon di sini (Malaysia)," tambahnya.

    Cara cari keserasian

    Aaron yang menggunakan pendekatan berbeza untuk mencari keserasian dengan pelakon wanita gandingannya, Luna berkata, dia mempunyai cara tersendiri mencipta keserasian dengan aktres tersebut.

    Kata Aaron, pernah beberapa kali pengarah, Ahmad Idham memintanya berbual dengan Luna untuk mencari keserasian, namun dia lebih selesa mempraktikkan formula sama sebelum ini.

    "Sebelum memulakan penggambaran, pengarah ada meminta saya untuk berbual-bual dengan Luna memandangkan ini baru kali pertama kami digandingkan bersama.

    "Lain bagi saya kerana keserasian itu akan semula jadi wujud apabila berhadapan dengan kamera. Saya jenis pelakon yang akan memberi dan memainkan peranan saya apabila pengarah mula cakap 'action'," jelasnya.

    Bagaimanapun, Aaron tetap memuji kualiti lakonan yang ditonjolkan Luna Maya dalam filem lakonan mereka bersama itu.

    "Saya rasakan dia memberikan kelainan dalam filem ini, selain hebat berlakon dia juga mempunyai banyak pengalaman dan jujur saya katakan filem ini satu garapan yang segar dan lain daripada lain," kata Aaron.

    Menerusi filem Tembus, Aaron melakonkan watak Hari, seorang lelaki yang sudah beristeri dan mempunyai seorang anak namun dek kerana kesunyian dia mencari alternatif lain untuk mempermainkan wanita di sekelilingnya termasuk Merylia.

    Filem ini mengisahkan Hari, seorang lelaki yang memegang tanggungjawab besar dalam mengotakan janjinya untuk melihat rumah tangganya semakin dilimpahi kemewahan dengan mengizinkan isterinya, Izza (lakonan Fazura) menguruskan syarikat sedangkan dia menjalankan tanggungjawab menjaga anaknya, Zara (lakonan Mia Sara).

    Pada mata masyarakat, Hari dan Izza adalah pasangan ideal yang sukses dalam rumah tangga dan kerjaya. Namun detik cemas bermula apabila Zara diculik dan penculikan misteri itu yang membongkar segala konflik dalaman yang selama ini dipendam baik Hari, Izza dan individu sekeliling mereka.

    Tembus dibintangi Khir Rahman, Siti Elizad, Eja dan Eizlan Yusof bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 28 Julai ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Share ke twitter ^^

    TwitThis