Cari Keserasian, Aaron Aziz Puji Lakonan Luna Maya

    Author: Luna_Lovers Genre: »
    Rating





    Pertama kali digandingkan bersama aktres cantik Indonesia Luna Maya dalam filem terbaru arahan pengarah Ahmad Idham berjudul 'Tembus', pelakon Aaron Aziz mengakui agak sukar untuk mencari keserasian semasa berlakon.

    Bagaimanapun, Aaron memberitahu keadaan itu tidak berterusan dengan lama kerana setelah beberapa kali melakonkan watak bersama, keserasian itu wujud secara semulajadi.

    “Saya adalah seorang pelakon yang jenis memainkan peranan dan watak saya sebaik sahaja mendengar pengarah menyebut perkataan ‘action’.

    “Saya belum pernah bergandingan dengan Luna dan ini pertama kali sudah pasti akan mengambil masa untuk kami serasi.

    “Bagi saya, keserasian akan mula wujud secara semulajadi apabila berhadapan dengan kamera.

    “Alhamdulillah, kami tidak mengambil masa yang lama untuk menjadi serasi,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-tonton filem ‘Tembus’ baru-baru ini.

    Bagaimanapun,  pelakon yang berasal dari Singapura ini menyifatkan kehebatan lakonan Luna Maya sebagai seorang Psiko dalam filem ‘Tembus’ amat mengagumkan.

    “Lakonan Luna semangnya hebat dan wataknya sebagai seorang Psiko memang tidak mengecewakan.

    “Luna telah memberikan sedikit kelainan pada filem ini dan saya akui filem ini lebih segar dan agak berlainan berbanding filem-filem yang sedia ada,” ujarnya.

    Mengulas mengenai wataknya sebagai Hari dalam filem tersebut, Aaron memberitahu kali ini dia lebih banyak bermain dengan emosi.

    “Sebelum apabila saya berlakon filem aksi memang tidak memerlukan saya untuk bermain dengan emosi tetapi untuk filem Tembus ini lain pula.

    “Saya perlu menjiwai watak sebagai seorang suami dan juga bapa lebih-lebih lagi setelah anaknya diculik… Tapi jangan terkejut kerana watak saya itu akan ada sedikit ‘twist’ yang penonton tidak akan jangka.” jelasnya.

    Filem yang diarahkan oleh pengarah Ahmad Idham ini dibintangi oleh Aaron Aziz, Nur Fazura, Luna Maya, Khir Rahman dan Mia Sara Nasuha.

    Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 28 Julai ini bersamaan dengan sambutan Aidilfitri.

    ‘Tembus’  mengisahkan tentang Hari (Aaron Aziz), seorang lelaki yang memegang tanggungjawab besar dalam mengotakan janji demi melihat keluarganya dilimpahi dengan kemewahan dengan mengizinkan Izza (Fazura) menguruskan syarikat.

    Detik cemas bermula apabila anak mereka Zara (Mia Sara) diculik dan penculikan itu telah membongkar sedikit sebanyak konflik dalaman yang selama ini dirahsiakan oleh Hari.

    Adakah Zara akan ditemui selamat atau menjadi mangsa keadaan kerana kisah silam bapanya? Mampukan Izza dan Hari menembusi benteng yang mereka bina atau menerima berita buruk akibat ketidakjujuran Hari?

    Astro Gempak logo

    Share ke twitter ^^

    TwitThis